Sunday, January 11, 2015

PROJEK PENANAMAN POKOK FIGS DI PERLIS...ONE STEP FURTHER..

PROJEK PENANAMAN POKOK FIGS DI RPH SEK MEN SAINS TUANKU SYED PUTRA, PERLIS
DGN KERJASAMA : CIKGU RAHIM SUKARDI

Green Jordan
Kembalinya saya di Bumi Indera Kayangan, adalah langkah yang berani pernah saya lakukan setelah melepaskan Ladang Nia Agrotech di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh kepada Hj Ridzuan Abdullah yang pada masa sekarang, meneruskan usaha penanaman pokok figs di sana. Atas faktor keluarga dan projek yang sedang dibangunkan di sekitar Perlis yang berkaitan dengan pertanian, saya melangkah pulang ke kampung halaman untuk membantu dan meneruskan usaha-usaha saya dalam dunia pertanian ini namun dengan pandangan yang berbeza. Saya bertekad untuk mengembangkan projek penanaman pokok figs di Perlis dan membuktikan bahawa usaha saya ini berbaloi dengan peluang yang sedia ada.

Hanya berbekalkan 5 pokok yang masih di dalam polibeg, variati Green Jordan, Purple Jordan, TGF Jumbo dan Red Khutmani, saya mula mencari tempat yang sesuai untuk dikembangbiakkan spesis ini di Negeri Perlis. Setelah perbincangan ringkas dilakukan dengan Cikgu Rahim Sukardi, beliau membenarkan saya untuk menggunakan kemudahan RPH dan sistem pengairan fertigasi yang sedia ada di SMS Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis dan sebagai alumni ASPUTRA ini, saya amat berbangga kerana dapat kembali dan menyalurkan sesuatu ilmu yang berharga untuk dinikmati oleh seluruh warganya. 

Purple Jordan
Pada peringkat awal pelaksanaan projek ini, kesukaran untuk mencari
media yang sesuai untuk tanaman ini amat dirasai. Jika di sekitar Sungai Buloh, pelbagai pilihan dan jenis media dapat digunakan memandangkan ia berada di sekitar kawasan tersebut. Namun di Perlis, pilihannya agak terhad dan kesukaran mendapatkan baja yang sesuai juga amat dirasai. Isu ini dianggap sebagai cabaran dan tidak akan menghalang saya untuk meneruskan projek pokok figs di Perlis. Dengan menggunakan media yang dibeli dari nurseri dan dicampur dengan sekam padi bakar dan pasir sungai, saya memulakan penanaman dalam bakul. Bermula dengan 5 buah bakul dan dengan kerjasama rakan, Saudara Zalman Basri, projek ini terus berkembang sehingga mencapai 50 bakul dalam masa 5 bulan. Dorongan ini membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan projek pokok figs di Perlis dan alhamdulillah, melangkah ke tahun 2015 ini, perancangan yang lebih besar akan cuba dilaksanakan untuk menjalankan penanaman pokok figs secara komersil di Bumi Indera Kayangan. InsyaAllah..

Pendapat saya, campuran media memainkan faktor yang terpenting dalam memastikan pertumbuhan pokok figs ini menjadi lebih kuat dan dapat hidup dengan lebih lama. Walaupun terdapat banyak percanggahan pendapat dalam soal ini, namun bagi saya tidak menjadi masalah kerana masing-masing mempunyai idea dan pengalaman yang tersendiri. Untuk saya, saya cuba elakkan daripada menggunakan cocopeat sebagai media disebabkan proses penguraiannya nanti akan menyebabkan media pokok menjadi lebih berasid serta akan merosakkan pertumbuhan akar pokok. Selain itu, percampuran baja organik seperti tinja ayam atau tinja kambing juga perlu diminimakan diatas faktor yang sama. Adalah sesuatu kerugian jika pokok yang sudah besar dan hampir berbuah, tiba-tiba layu disebabkan faktor-faktor ini.


Projek penanaman pokok figs di Perlis telah hampir 5 bulan dilaksanakan dan tak ramai yang mengetahuinya lagi memandangkan projek ini masih dalam peringkat awal dan dalam usaha pengembangan anak-anak pokok. Namun dalam jangkamasa itu, pelbagai percubaan telah dilaksanakan dan memberi impak yang positif. 
  1. Pertama, pokok ini sesuai ditanam dalam cuaca negeri Perlis, pertumbuhannya amat menggalakkan dan mampu mengeluarkan buah walaupun dengan penjagaan yang minima. 
  2. Kedua, percampuran media yang dilakukan disini walaupun serba kekurangan dengan sedikit penambahbaikkan mampu menampung pertumbuhan pokok figs ini tanpa sebarang permasalahan serious.
  3. Ketiga, penggunaan bakul ini mempunyai kelebihan dari aspek faktor kesuburan tanah dan perkembangan akar yang sihat. 
  4. Keempat, tanaman dalam bakul ini mempunyai nilai jualan yang tinggi serta mudah untuk dijual kepada pembeli yang berminat.
Usaha-usaha pengembangan projek ini bakal diteruskan walaupun dalam kesibukkan untuk mendalami ilmu tentang pokok figs ini sedang rancak berjalan. Kesesuaian persekitaran di Perlis amat menyumbang kepada pertumbuhan industri pokok figs dan diharapkan akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke Negeri Perlis Indera Kayangan yang selama ini terkenal dengan pengeluaran buah Harum Manis. 


1 comment:

  1. salam Tuan,
    saya abdullah hamdi bertugas diSaudi Arabia. InsyAllah akan ketempat Tuan semasa pulang bercuti nanti.

    ReplyDelete