Tuesday, January 7, 2014

A NEW SMALL STEP TAKES SOMETIMES TO BEAR A FRUITS...

Penglibatan saya dalam dunia pertanian telah menjangkau 7 tahun, bermula pada langkah pertama saya dalam memajukan 1 ekar tanah dengan sistem fertigasi cili menggunakan Rumah Pelindung Hujan hinggalah kepada pengeluaran Rock Melon dan Timun secara fertigasi. Namun, saya masih mencari sesuatu yang memberikan hasil pulangan yang lebih lumayan dan berkat dengan hanya 1 ekat tanah. Terus terang saya katakan, dalam pertanian fertigasi ini, kos modal awalan agak tinggi untuk memajukan kawasan seluas 1 ekar dan 'return of investment'nya agak perlahan. Dengan faktor-faktor sekeliling yang kurang membantu sepanjang penglibatan saya, kini saya cuba mencari alternatif dalam bidang pertanian dengan menggabungkan ilmu pengetahuan dan teknik untuk memajukan satu projek terbaru, iaitu projek pokok fig yang akan dikenali sebagai 'NIA GOLDEN FIGS VALLEY'.

Saya bermula dengan langkah yang kecil tetapi bercita-cita besar, untuk menambahnilai ladang fertigasi saya di Kampung Merbau Sempak menjadi sebuah ladang fig, mengkhusus kepada pengeluaran buah fig dan anak benih fig untuk keperluan peladang dan pengguna yang lain. Dengan misi untuk membuktikan bahawa pokok fig atau pokok tin ini boleh ditanam di Malaysia dan menjadi salah satu negara pengeluar buah fig, maka langkah kecil ini perlu dimulakan dengan berbekalkan pengalaman dan modal yang kuat.

Pertemuan saya dengan Dato' Syed di Bukit Antarabangsa telah membuka minda saya bahawa industri pengeluaran buah fig dan pembekalan anak benih fig ini mempunyai potensi yang amat besar dan dianggap sebagai baru di Malaysia. Beliau telah melibatkan diri hampir 3 tahun sebagai pengumpul atau 'collector' pokok fig dari seluruh dunia telah memberikan input yang amat saya harapkan dan meningkatkan keyakinan saya bahawa pokok fig memang boleh ditanam di Malaysia dan mempunyai ruang pemasaran yang tinggi dalam pengeluaran buah-buahan exotik ini.

Dengan sokongan yang diberikan oleh rakan kongsi saya , Saudara Azwan dan setelah perbincangan serta penyelidikan dijalankan, maka kami telah bersetuju untuk meneruskan projek fig ini di samping projek tanaman sayuran seecara fertigasi. matlamat kami adalah untuk menukar jenis tanaman sayuran ini kepada pokok fig tetapi akan mengambil masa sedikit memandangkan bekalan anak pokok fig yang terhad.

Diharapkan blog ini akan menjadi bukti kejayaan kami kelak. Insya Allah, jika diber kelapangan, akan saya coretkan sedikit ilmu dan pengalaman yang akan kami perolehi dalam projek 'NIA GOLDEN FIGS VALLEY' ini nanti.

1 comment:

  1. tahniah atas idea dan usaha yang membanggakan..semoga Allah memberkati segalanya supaya Malaysia boleh menikmati buah yang mulia ini.

    ReplyDelete